Monday, July 20, 2009

TASAUF : HIJAB-HIJAB PENGHALANG PERJALANAN

Uzlah tubuh badan sahaja tidak memberi kesan yang baik jika hati tidak turut serta beruzlah. Hati yang tidak turut beruzlah akan disambar oleh empat perkara:-

1. Gambaran, ingatan, tarikan dan keinginan terhadap perkara-perkara alam seperti harta, perempuan, pangkat dan lain-lain.
2. Kehendak atau syahwat yang mengarahkan perhatian kepada perkara yang dikehendaki.
3. Kelalaian yang menutup ingatan terhadap Allah.
4. Dosa-dosa yang tidak dibasuh dengan taubat yang masih mengotorkan hati.
Diri manusia terdiri daripada empat anasir iaitu tanah, air, api dan angin. Ia juga diresapi oleh unsur-unsur alam seperti galian, tumbuhan, haiwan, syaitan dan malaikat. Setiap anasir dan unsur ini mengalami proses tarik-menarik dan inilah yang akan menimbulkan kekacauan di dalam hati. Hati yang keruh tidak dapat menerima sinaran nur iman dan tauhid. Mengubati kekacauan hati adalah penting untuk memelihara dalam menerima maklumat dari alam malakut.

Hati yang mengalami gangguan ini boleh distabilkan melalui cara menundukkan semua anasir dan unsur tadi kepada syariat. Syariat menjadi tali yang mengikat musuh-musuh yang cuba menawan hati. Penting bagi seseorang murid yang menjalani jalan kerohanian menjadikan syariat sebagai payung yang mengharmonikan perjalanan anasir-anasir dan daya-daya yang menyerap ke dalam dirinya agar cermin hatinya tidak diganggui oleh gambar-gambar alam maya. Bila cermin hatinya bebas dari gambar dan tarikan tersebut hati akan dapat mengadap ke hadrat Allah SWT.

Selain daripada tarikan benda-benda alam, hati boleh tunduk kepada syahwat yang ada padanya. Syahwat bukan sahaja ransangan hawa nafsu yang rendah tetapi merangkumi semua bentuk kehendak diri sendiri yang berlawanan dengan kehendak Allah.

Kerja syahwat adalah mengajak manusia supaya lari dari hukum dan peraturan Allah serta membangkang takdir Ilahi. Syahwat membuat manusia tidak redha dengan keputusan Allah. Seseorang yang mahu menuju Allah perlulah melepaskan dirinya dari belenggu syahwat dan kehendak diri, lalu masuk ke dalam benteng aslim iaitu berserah diri kepada Allah dan redha dengan takdirNya.

Kelalaian ini diistilahkan sebagai junub batin. Orang yang berjunub lahir dilarang melakukan ibadat dan dilarang memasuki masjid. Orang yang berada di dalam junub batin iaitu yang lalai batinnya sama keadaannya dengan orang yang berjunub zahir, amal ibadatnya tidak diterima.Allah mengancam untuk mencampakkan orang yang bersembahyang dalam keadaan lalai ke dalam Neraka Wil. Mengapa begitu hebat ancaman Allah terhadap orang yang lalai dalam mengadapNya?

Bayangkan hati itu seperti bentuk dan rupa kita yang zahir. Hati yang kusyuk ialah hati yang
mengadap Allah dengan mukanya, duduk dengan tertib, bercakap dengan sopan dan tidak berani mengangkat kepalanya di hadapan Maharaja Yang Agung. Hati yang lalai pula ialah hati yang mengadap dengan membelakanginya, duduk secara tidak beradab, bertutur dengan tidak tentu hujung pangkalnya dan berkelakuan dengan tidak sopan.

Perbuatan demikian adalah satu penghinaan terhadap martabat ketuhanan yang Maha Mulia dan Maha Tinggi. Jika raja di dunia merasa murka dengan perbuatan tersebut maharaja bagi sekelian raja lebih berhak melemparkan kemurkaanNya kepada hamba yang tidak beradab dan layaklah dicampakkan ke Neraka Wil.

Dosa yang belum ditebus dengan taubat, menghalang seseorang dari memahami rahsia-rahsia yang halus. Pintu kepada perbendaharaan Allah yang tersembunyi ialah taubat. Orang yang telah menyucibersihkan hatinya hanya mampu berdiri di luar pintu rahsia Allah selagi dia belum bertaubat. Samalah seperti orang yang mati syahid yang belum menjelaskan hutangnya terpaksa menunggu di luar pintu syurga.

Taubat itu sendiri merupakan rahsia yang halus. Orang yang tidak memahami rahsia taubat tidak akan mengerti mengapa Rasulullah s.a.w yang tidak pernah melakukan dosa masih juga memohon keampunan. Orang yang melakukan dosa tercampak jauh dari Allah. Walaupun orang ini sudah tidak melakukan dosa lagi bahkan dia telah melakukan amal ibadat dengan banyak namun tanpa bertaubat dia tetap tinggal berjauhan dari Allah. Dia termasuk di dalam golongan hamba yang beramal soleh tetapi yang berjauhan bukan berdekatan dengan Allah. Taubat yang halus ialah penghayatan kalimah pada ayat yang bermaksud “Tiada daya dan upaya melainkan anugerah Allah”. dan pada ayat yang bermaksud “Kami datang dari Allah dan kepadaNya kami kembali”.

Segala sesuatu datangnya dari Allah, baik kehendak mahupun perbuatan kita. Sumber yang
mendatangkan segala sesuatu itu ialah uluhiah dan yang menerimanya ialah ubudiah. Apa sahaja yang lahir dari uluhiah sempurna dan apa sahaja yang terbit dari ubudiah adalah tidak sempurna. Uluhiah membekalkan kesempurnaan tetapi ubudiah tidak dapat melaksanakan kesempurnaan itu.

Jadi, ubudiah berkewajipan mengembalikan kesempurnaan itu kepada uluhiah dengan memohon keampunan dan bertaubat sebagai menampung kecacatannya. Segala urusan dikembalikan kepada Allah. Semakin tinggi makrifat seseorang hamba semakin kuat ubudiahnya, semakin kerap seseorang hamba memohon keampunan kepada Allah, dia akan mengembalikan setiap urusan kepada Allah sumber datangnya urusan itu.

Apabila seseorang hamba mengembalikan urusannya kepada Allah, maka Allah yang akan mengajar ilmuNya yang halus-halus agar kehendak hamba itu bersesuaian dengan Iradat Allah, kuasa hamba tersebut sesuai dengan Qudrat Allah, hidupnya sesuai dengan Hayat Allah dan pengetahuannya sesuai dengan Ilmu Allah. Dengan itu jadilah hamba yang mendengar dengan "Sama'"Allah, melihat dengan "Basar"Allah dan berkata dengan Kalam Allah. Apabila semuanya terdapat pada seorang hamba maka jadilah hamba itu insan sirrullah (Rahsia Allah).

Demikianlah hijab-hijab yang tanpa sedar sebenarnya selama ini membelenggu kita untuk sampai kehadrat Allah. Keajaiban ilmu dan rahsia Allah yang hanya diketahui dan dirasai hanya bagi insan-insan pilihan yang benar-benar ikhlas menuju kepadaNya.Ilmu tasauf diletakkan sebagai tempat yang tinggi kerana sekiranya dikaji dan diteliti akan bertambah rasa rendah diri dan terangsang untuk memelihara dan mengamalkan ilmunya yang lain.Imam Ghazali pernah berkata, “Semakin aku banyak beribadah kepada Allah semakin aku rasa banyak dosa dan semakin banyak aku belajar ilmu Allah semakin aku merasa bertambah jahil”.

Rujukan : Hikam

0 comments: